Agropolitan Pekan ternak biri-biri Australia

Agropolitan Pekan ternak biri-biri Australia


Sebahagian masyarakat Orang Asli yang akan bekerja dalam projek Agropolitan Pekan melihat kumpulan pertama 649 ekor kambing biri-biri Australia di Runchang, Pekan, Pahang, semalam. - UTUSAN/Mahathir Ali


PEKAN 23 Julai - Sebanyak 649 ekor kambing biri-biri baka Dorper tiba di tapak Projek Agropolitan Pekan di Runcang, dekat sini pagi ini setelah mengharungi perjalanan lebih 21 jam dari Melbourne, Australia.

Pengurus Bahagian Pembangunan Sosial dan Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Mohd. Yusof Hidrus berkata, ternakan tersebut yang terdiri daripada 621 kambing jantan dan 28 ekor betina diterbangkan dari Australia menggunakan MasKargo.

Beliau berkata, kesemua biri-biri itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 7 petang semalam sebelum dibawa ke sini pada pukul 12 tengah malam tadi dan tiba pukul 8 pagi ini.

"Kambing-kambing itu ditempatkan di enam kandang dengan setiap kandang mampu menempatkan lebih 100 ekor. Setiap kandang akan diselia oleh tiga peserta," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, kambing biri-biri itu akan diserahkan kepada 30 peserta Orang Asli pada 11 Ogos ini, manakala penyerahan kepada peserta bukan Orang Asli di Batu 8, Bebar dekat sini akan dilakukan pada September.

Menurutnya, seekor biri-biri Dorper betina berharga RM1,500 manakala biri-biri jantan berharga antara RM4,500 dan RM10,000 seekor.

Projek Agropilitan Pekan dengan kos keseluruhan RM90 juta bakal dimajukan di kawasan seluas hampir 2,000 hektar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan projek tersebut pada 4 Ogos ini.

Projek tersebut membabitkan penyertaan 1,450 keluarga termasuk 750 keluarga Orang Asli sekali gus mampu mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan selain melonjakkan pendapatan isi rumah miskin tegar daripada RM350 kepada RM1,500 sebulan.

First Batch Dorper Sheep dari Australia untuk Perasmian PM Malaysia





Pada 22 Julai 2009, kumpulan pertama kambing Dorper telah sampai ke Malaysia dari Australia yang telah dikendalikan oleh Syarikat MajorTrans Global (MTG). Kambing Dorper tersebut telah dibawa masuk khas ke Malaysia bersempena perasmian Pekan Agropolitan Project yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Abd Razak pada 4 Ogos 2009. Syarikat Agroman Ma N Man Resources telah terlibat sama sebagai perunding ternakan( Livestock Consultant) untuk ECER Development Council.